Sunday 24 January 2010

Itulah Kehidupan... JOM MUHASABAH


Merentasi masa berbaki kehidupan terasa bagai diasak gelisah dek kerana lumpuhnya istiqamah ku dalam beramal.Dunia yang kian cedera ditimpa badai kealpaan seakan terkena tempiasnya pada diri yang serba lemah ini.Sesak nafas memikirkan kecederaan rohaniyah ku ini.

Pelbagai rencam dan ragam manusia hari ini. Setiap dari insan diberi situasi kehidupan berbeza. "ada yang bahagia dalam derita, ada yang derita dalam bahagia, ada yang bahagia dalam bahagia dan ada yang yang derita dalam derita."

1. Bahagia kerana amalnya dalam keikhlasan, deritanya kerana kesusahan hidup yang dianugerahkan..HAKIKATNYA dia BAHAGIA menuju jannah ALLAH.

2. Deritanya kerana kering amal ikhlasnya lantas bahagianya dalam kemewahan dunia tidak langsung membawa kepada hakikat kebahagian..dia DERITA HAKIKATNYA.

3. Bahagia insan itu yang penuh dengan tawadhuk amalannya justeru bahagia dengan limpahan kesenangan dunia yang sentiasa menginsafkan diri serta membawa kepada kerendahan diri sebagai hambaNYA.

4. Derita dia derita kerana kejahilan yang berselirat dan langsung tidak mahu mencari jalan menuju hidayah bahkan menolak sinar yang hampir tiba, apatah lagi kesusahan hidup yang di tanggung membawa dia jauh dari sinar kebenaran lantas sering mencari alasan menyalahkan diri dan tuhan.

Inilah lumrah sebuah kehidupan. Dimana situasi kita tika ini? Pastikan jangan sampai terdampar dalam kelam kealpaan yang berterusan. Memang iman manusia biasa itu naik dan turun... sentiasa diuji dan teruji dengan pelbagai mehnah tribulasi kehidupan yang kadang tidak terjangkau dek minda kita. Lantas itulah, ayuh kita bersama memugar diri kembali menerobos sempadan diri yang baru dengan semangat dan keazaman yang jitu.
Mencari limpahan kasih ILAHI,
Mensyukuri nikmat yang saban diberi tanpa henti,
Memburu maghfirah dan redhamu Rabbi,
Memimpin diri menuju destinasi abadi.


Firman Allah Taala: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan”. (Surah al-Hasyr:18).

Dalam hadith pula, daripada Syidad bin Aus, berkata: Sabda Rasulullah s.a.w.: “Orang yang bijak ialah orang yang menundukkan hawa nafsunya dan beramal untuk hari selepas mati. Orang yang lemah ialah orang yang mengikuti hawa nafsunya dan berangan-angan sesuatu di sisi Allah” (Riwayat Ibnu Majah dan berkata: Hadith Hasan). Maksud “menundukkan hawa nafsu” ialah menghitung diri di dunia.

Daripada Umar bin al-Khattab, berkata: “Hitunglah diri kamu sebelum kamu dihitung, timbanglah amalanmu sendiri sebelum ia ditimbangkan untukmu, dan bersedialah untuk hari pembentangan amal yang besar, sesungguhnya hisab pada hari kiamat menjadi ringan bagi sesiapa yang melakukan muhasabah diri di dunia ini”.

Nur RaFiQaH
24 Januari 2009
Sentul, Kuala Lumpur

0 comments:

Template by : kendhin x-template.blogspot.com