Tuesday 14 December 2010

saat merindui dan ingin menangis....




Ingin menangis.


Aku hanya ingin menangis,
membuang segala gundah yang terbeku di hati,
biarkan ianya cair,
sendiri bersama diriku ini,

Aku hanya ingin menangis,
kerna aku yakin manusia tidak memahami,
yang tersayang juga tidak akan mengerti,
dari aku berbicara dan dipandang dengan seribu muka,

Aku hanya ingin menangis,
sendiri bersama diriku ini,
titisan itu teman karib
buat yang terpencil di dunia ini
bukan semua manusia memahami semua bahasa
bukan semua yang disayang akan mencintai diri semula
akrab hilang bila berjauh
yang wujud sentiasa hanya DIA
bicara berat hendak diluah
maka tangis adalah bahasa termudah

Aku hanya ingin menangis,
menenangkan hati yang menggeletar,
biarkan segalanya mencair,
sendiri bersama diriku ini.


~Hilal Asyraf~
0506PM
291110
Dalam bilik, Irbid, Jordan
Anything For You
Puisi Ingin Menangis




SEBUAH DESTINASI

Kalimah mulia berlagu seni,
Alunan gemersik menyentuh jiwa,
Bahagia sikecil melihat duniawi,
Di izin ILAHI menjadi penghuni,

Merasai nikmat kurniaan ILAHI,
Tidak ternilai kasih tertinggi,
Diberi ujian silih berganti,
Agar hamba mengenali diri,

Masa berlalu bersilih hari,
Makin matang menghitung situasi,
Kerna ego dan lupa diri,
Terheret ke neraka duniawi,

Terhina di dunia ciptaan sendiri,
Erti hamba tidak difahami,
Hanya menongkah resah di hati,
Dalam jahil tersasar lagi,

Kalam ILAHI dibiar ke tepi,
Kalam ingatan tidak dituruti,
Enggan patuh menunduk diri,
Terlupa nanti kitakan MATI,

Mana lagi mahu pergi,
Tempat kita di akhirat nanti,
Syurga neraka pilihan diri,
Bakal menghuni destinasi abadi.


Angah RAFIQAH
14.12.2010
5.45ptg

Sunday 12 December 2010

Menjadi Tunang Orang Tanpa Kita Sedar?

Jika seorang lelaki menyatakan hasrat kepada seorang perempuan untuk dijadikan isteri dan wanita itu bersetuju, adakah ia dikira bertunang walaupun ibu bapa perempuan itu belum tahu atau tidak kenal pihak lelaki?

JAWAPAN:

Makna pinang dari segi syarak adalah pihak lelaki menyatakan hasrat berkahwin kepada pihak perempuan. Apabila pihak perempuan berkata setuju, maka perempuan itu sudah dikira menjadi tunang kepada lelaki tersebut.

Contohnya apabila seorang lelaki berkata kepada seorang perempuan, "Aku ingin jadikan kamu sebagai isteriku."

"Kahwin la dengan kita bila-bila," jawab perempuan tersebut.

Maka dari segi hukum syarak, tatkala pihak perempuan itu bersetuju, dia telah menjadi tunang kepada lelaki tersebut; walaupun ia disebut dalam telefon.

Jadi, haram bagi lelaki lain untuk masuk meminang jika hal itu diketahui. Namun jika pihak lelaki lain yang ingin masuk meminang itu tidak tahu, maka ia tidak haram.

Bagaimana dengan kebiasaan orang Melayu yang menghantar rombongan meminang untuk lelaki meminang perempuan?

Ia hanyalah adat Melayu, dan tiada kena mengena dengan hukum Islam. Antara hukum Islam dan hukum adat, mana satu lebih penting?

Namun tiada masalah dengan adat Melayu itu, cuma dari segi hukum Islam, bertunang itu adalah apabila seorang perempuan itu bersetuju dengan hasrat pihak lelaki untuk menjadikannya seorang isteri.

Bagaimana Jika Perempuan Itu Ketiadaan Ibu Dan Ayah?

Mengikut hukum syarak, jika perempuan itu persetujuannya sudah diizinkan oleh syarak seperti perempuan yang cerdik, yang sudah baligh dan sebagainya, ia sudah dianggap bertunang jika dia bersetuju dengan pelawaan lelaki yang menyatakan hasrat mengahwininya.

Apabila perempuan itu persetujuannya tidak menepati hukum syarak seperti belum baligh, gila dan lain-lain, maka wali diperlukan untuk menjawab 'pinangan' tersebut.

Kesimpulannya, kita perlu berhati-hati kerana kita boleh menjadi tunang orang tanpa kita sedar. Pastinya ramai yang tidak tahu dan perasan akan hakikat ini.


- Artikel iluvislam.com

- Artikel diolah dari ceramah Ustaz Azhar Idrus.

Muslimat Pencetus Muslimin Bertaqwa?

"Wanita yang secekal Asiyah dan Mariam selayaknya diangkat darjatnya diakhirat. Bayangkan apa yang berlaku dengan kecekalan dan sikap kuat beribadat yang ada pada Mariam? Akhirnya dari perutnya lahirlah seorang Nabi yang bakal meneruskan mata rantai perjuangan dakwah di bumi Allah." Imtiazsofea, jun 09.

Beberapa orang bertanya pada saya, "Apa yang imtiaz maksudkan dengan Muslimat pencetus muslimin bertaqwa?" Ada yang tertanya-tanya. Tapi semuanya hakikat.

Wanita itu punya kelembutan yang dikurniakan oleh Allah SWT.Oleh itu, pilihlah jalan berdasarkan akal untuk menggunakan kelembutan dan kasih sayang yang ada. Sama ada untuk melentur buluh mahupun mengeraskan besi sedia ada.

Percaya atau tidak, wanita lebih berkuasa dalam mendidik?

Wanita punya kuasa besar dalam memupuk sifat positif dalam diri kanak-kanak mahupun dewasa. Tapi sejauh manakah mereka menggunakan kuasa dan kelebihan ini kearah mardhatillah.

Asiyah zaujah Firaun, isteri Firaun. Rata-rata sudah mengenal Asiyah isteri si kejam yang berperangai syaitan iaitu firaun. Walaupun Asiyah bukanlah orang yang berjaya melentur firaun supaya menjadi manusia yang beriman dan taat pada Allah.

Tetapi atas kuasa wanitanya beliau mampu memujuk Firaun supaya menerima Nabi Musa sebagai anak angkat. Sedangkan semua tahu pada waktu itu, semua kanak-kanak lelaki akan dibunuh sebaik sahaja dilahirkan kerana salah seorang ahli nujumnya bermimpi kerajaan gah Firaun akan jatuh ditangan seorang lelaki pada masa hadapan.

(Dengan izinAllah) Mariam ibu nabi Isa, sejarah menyaksikan bagaimana kecekalan seorang wanita menerima takdir Allah yang meniupkan roh seorang nabi ke dalam rahimnya walaupun beliau tidak pernah disentuh mana-mana lelaki sekalipun. Tapi apakah yang berlaku ketika Malaikat Jibril turun kebumi menemuinya di Mihrab tempat beliau beribadat?

Beliau terima seadanya akan ujian dan takdir Allah buat kehidupannya. Anda fikir sejenak.. bagaimana beliau mendapat kekuatan untuk menerima takdir itu? Tidak lain dan tidak bukan hasil dan kesan kepercayaan penuh yang diberikan dirinya kepada Allah!

Zulaikha yang menggoda Nabi Yusuf. Masih ingat akan kisah yang diangkat darjatnya disisi Allah ini sehingga dinukilkan didalam Al-Quran kalamullah supaya menjadi pengajaran buat umat manusia?

Ya benar, Zulaikha isteri perdana menteri Mesir satu ketika dahulu nan cantik rupawan yang jatuh hati pada Nabi Yusuf yang mempunyai pakej lengkap seorang pemuda yang tampan lagi beriman.

Sehinggalah satu hari Zulaikha telah merayu Yusuf untuk melakukan perkara yang terkutuk disisi Allah. Yusuf yang mempunyai tingkat darjat taqwa yang tinggi disisi Allah telah menolak ajakan keji itu.

Baiklah , jadi untuk apa saya nukikan kembali kisah diatas disini? Adakah saya mahu memberitahu anda bahawa wanita-wanita diatas merupakan mereka-mereka yang ditulis namanya didalam AL Quran?

Tentu tidak! Lihat kembali kisah di atas. Dua kisah wanita beriman yang takutkan Allah dan 1 wanita yang berani membelakangi Allah dan berniat melakukan perkara yang hina disisi Allah.

Analisisnya mudah, semua wanita diberi kuasa dalam menilai samada perkara tersebut baik atau buruk buat dirinya.

Tetapi, apa yang ingin saya simpulkan berdasarkan kisah-kisah diatas adalah berkenaan wanita mempunyai kuasa yang hebat dalam melakukan sesuatu perkara tidak kira perkara positif atau negatif. Wanita yang secekal Asiyah dan Mariam selayaknya diangkat darjatnya diakhirat.

Bayangkan apa yang berlaku dengan kecekalan dan sikap kuat beribadat yang dilakukan Mariam? Akhirnya dari perutnya lahirlah seorang Nabi yang bakal meneruskan mata rantai perjuangan dakwah di bumi Allah.

Sangat perlu untuk kita lihat perkara ini sebagai satu penghormatan buat Mariam yakni wanita yang hidupnya hanya untuk Allah!

Kembali kepada Zulaikha isteri perdana menteri mesir satu ketika dahulu yang telah nekad melakukan perbuatan terkutuk bersama Yusuf tapi ditolak mentah-mentah oleh si pemuda berpakej iman dan akhlak itu.

Ya, masih lagi berkisarkan seorang wanita. Tapi bukan pada jalan kebaikan bahkan kejahatan.Adakah pada waktu itu Zulaikha tidak dikurniakan aqal untuk berfikir? Tentu tidak! Tetapi atas dorongan nafsu beiau terpedaya dengan ajakan syaitan yang dilaknat Allah.

Nah, terang bukan bahawa wanita itu merupakan pencetus kepada muslimin bertaqwa mahupun bukan. Jika si Ibu merupakan seorang pejuang, maka tak lain zuriat yang dilahirkan bakal menjadi seoang pejuang juga.

Tetapi jika siibu memilih jalan terkutuk untukmeneruskan kehidupan maka belum tentu anak yang dilahirkan itu bakal menjadi manusia yang berakhlak mulia ( dengan izin Allah).

Oleh itu wanita diluar sana... pilihlah jalan hidup anda secara berhati-hati! Jalan dan terhantuk baru nak terngadah.

Bentuklah akhlakmu semulia Mariam dan Asiyah sebelum kamu memberi pelajaran kepada orang lain.

Bagaimana Bidadarimu?

"Jangan engkau kahwini wanita yang enam; yang ananah, yang mananah, dan yang hananah, dan jangan engkau kahwini yang hadaqah, yang baraqah dan yang syadaqah." - Imam Al-Ghazali

Wanita Ananah:

Wanita yang banyak mengeluh dan mengadu dan tiap saat memperalatkan sakit atau berpura-pura sakit.

Wanita Mananah:

Wanita yang suka mengungkit-ngungkit terhadap suaminya. Wanita ini sering menyatakan seperti; "Aku membuat itu keranamu"

Wanita Hananah:

Wanita yang menyatakan kasih sayangnya kepada suaminya yang lain, yang dikahwininya sebelum ini atau kepada anaknya dari suami yang lain.

Wanita Hadaqah:

Wanita yang melemparkan pandangan dan matanya pada tiap sesuatu, lalu menyatakan keinginannya untuk memiliki barang itu dan memaksa suaminya untuk membelinya.

Wanita Baraqah:

1) Wanita yang sepanjang hari mengilatkan dan menghias mukanya.
2) Wanita yang marah ketika makan dan tidak mahu makan kecuali sendirian dan diasingkannya bahagianya.

Wanita Syadaqah:

Wanita yang banyak bercakap perkara yang lagha (sia-sia) dan lagi membisingkan.

- Artikel iluvislam.com

Kita Sepatutnya

Hubungan cinta sebelum perkahwinan merupakan satu cabaran bagi pemuda-pemudi hari ini. Jika kita terjebak dengan perkara ini, kita mestilah berpegang kepada prinsip-prinsip yang betul dan takut kepada Allah (khauf Allah) kerana sudah pasti syaitan akan sentiasa menghasut kita untuk melakukan maksiat.

Kita sepatutnya bersyukur jika si dia :

* Menolak ajakan kita untuk keluar.

* Tidak selalu mengadu kesedihannya.

* Cemburu pada tempatnya.

* Mengajak kita untuk bertahajud.

* Mengajak kita menutup aurat dengan sebenar benarnya.

* Mengingatkan kita atas dosa-dosa yang kita tidak sedari.

* Mengajak kita untuk berkahwin jika sudah mampu.

* Menahan dari melafazkan kata-kata cinta yang tidak hak kepada kita.

Kita tidak sepatutnya bersyukur jika si dia :

* Mengajak kita keluar ditengah malam semalaman.

* Mengadu pada setiap saat sehinggakan terluka 2 cm pun mahu mengadu.

* Cemburu buta sampaikan marah walaupun sedikit.

* Mengajak kita ke majlis-majlis maksiat.

* Bangga dengan pakaian ketat yang terdedah kita.

* Mengajak kita membuat dosa.

* Menangguh pernikahan semata-mata untuk mengejar kesenangan dunia.

* Selalu melafazkan kata-kata cinta setiap hari.

- Artikel iluvislam.com

Template by : kendhin x-template.blogspot.com