Sunday 5 July 2009

Kasih Yang TIDAK kan Terlerai ....


PUSARA ABAH
pokok pisang yang berada diatasnya seolah kami 3beradik.

Bukan kami yang tanam pokok ni, kami pun tak tahu mana datangnya.
Moga ada hikmahya...

5 tahun berlalu, bagai semalam menempuh episod duka, hati luka lara, mengenang insan jauh dimata, namun di ingatan tetap bertakhta. ABAH, kami merinduimu. Perginya insan prihatin itu membawa sejuta memori bersamanya. Doa kami tidak pernah luput dibibir, moga ABAH di tempatkan di kalangan insan yang beriman dan soleh. Kami bakal menyusul tapi, entah bila pula.

27 Januari 2004 telah memisahkan kami dengan jasad seorang ABAH yang amat dikasihi. Melihat derita yang ditanggungnya begitu memeritkan dan memilukan jiwa. Terasa ingin menanggungnya, biar diri yang derita bukan Abah. Namun itulah tanda kasih Allah buat Abah, dihantarnya derita bagi mengahapus dosa hambaNYA. Abah memang jarang sakit, saat itulah sakit yang teramat sakit dihadapinya sehingga telah meragut pergi sebuah jiwa milik Abah. Kehilangannya bagai disentap gembira selamanya buat kami, tetapi berkat didikan serta jasa abah&mak telah berjaya memahamkan kami tentang hakikat sebuah kehidupan. Setiap jiwa pasti pergi menemui Rabbnya. Hakikat itu, kami akur dan gagahi untuk menempuhnya dengan redha dan sabar walau airmata ketika itu memang milik kami.

Pengorbanan Abah bukan sedikit, aduh... tidak termampu untukku hitung dengan nilaian wang bahkan harta dunia. Ikhlasnya Abah, sabarnya Abah, prihatinnya Abah, penyayangnya Abah tidak ternilai harganya. Abahku seorang pekerja rendah awam, namun cekalnya Abah membesar kami 3 beradik dengan bekerja lebih masa, telah berjaya menjejakkan kami ke menara impiannya agar kami bisa menggulung sebuah ijazah. Abah...kami sudah mencapai impian itu, namun... Abah tiada di sisi.Terima kasih Abah... kerana impian itulah yang telah menguatkan semangatku untuk terus menggenggamnya ketika hampir aku berputus asa, emak telah mengingatkan.

Kini... aku dan along bergelar guru. Kami mahu menjadi murabbi bukan mua'lim. Walau rasa tidak layaknya diri, moga ada berkat mengiringi langkah kami. Amin.. Adikku bakal menamatkan kuliah quran. Moga kita sama-sama dapat membalas jasa arwah Abah dengan kejayaan iman dan taqwa dunia akhirat. Abah.. kasih di antara kita tidakkan terlerai walau jasad dan alam memisahkan kita. Abah, pergimu mengajar kami erti berdikari. Terima kasih Abahku...


0 comments:

Template by : kendhin x-template.blogspot.com